Friday, November 8, 2013

Cerpen: Mencari Maryam Jameelah



Aidan Syafiq termenung. Fikiranya penuh dengan mimpi yang bertandang malam tadi. Bukan dia tidak pernah bermimpi tetapi mimpi yang satu itu bagaikan mengekorinya sedarnya sehinggakan kerjanya serba tidak jadi.

Maryam Jameela. Sebaris nama itu berlegar-legar di ruang minda. Nama yang hadir dan disebut-sebut di dalam mimpinya. Tetapi raut wajah sang gadis itu langsung tidak lekat di mindanya. Berbalam-balam. Bercampur-campur.

Akhirnya, dia rasa tidak betah lama-lama di studio. Tanpa memperdulikan sekumpulan pekerja yang sibuk dengan sesi fotografi dia mencapai jaket dan kunci keretanya. Memandu tanpa arah tuju. Ya, itulah pertama kalinya dia merasakan realitinya terganggu dek mimpi.

Kereta yang dipandu tanpa arah tuju itu berhenti di bahu jalan. Telefon bimbit dikeluarkan dari saku jaketnya yang tergantung di tempat duduk sebelah pemandu. Cepat sahaja jarinya menekan ikon chrome yang terletak dihome screen telefon bimbitnya itu, menaip nama yang lekat di kotak fikiranya sejak pagi tadi.

Bila nama itu tertera di ruang carian, dahinya berkerut. Carian paling atas diklik.

Maryam Jameelah (May 23, 1934 - October 31, 2012) was an author of over thirty books on Islamic culture and history and a prominent female voice for conservative and fundamentalist Islam, known for her disparaging writings on the west. Born Margret Marcus in New York to a non-observant Jewish family, she explored Judaism and other faiths during her teens before converting to Islam in 1961 and emigrating to Pakistan. She was married to and had five children with Muhammad Yusuf Khan, a leader in the Jamaat-e-Islami political party, and resided in the city of Lahore.

Dahinya berkerut. Dia termenung seketika dengan fikiran kosong. Telefon bimbitnya diletakkan ke atas tempat duduk penumpang dan keretanya mula melucur semula di jalan raya. Nama Maryam Jameelah itu diucapkan beberapa kali, perlahan dan semakin kuat. Dia geleng kepala bila memikirkan dia boleh jadi gila kerana Maryam Jameelah itu. Dia pasti Maryam Jameelah yang hadir di dalam mimpinya dan Maryam Jameelah yang ‘ditemui’ di laman web Wikipedia itu. Mana mungkin mereka orang yang sama!

Kereta yang dipandunya mula memasuki kawasan pusat membeli-belah. Hujan turun dengan lebatnya ketika keretanya baru memasuki kawasan letak kereta. Niat mahu meletak kereta di kawasan terbuka dibatalkan dan terus keretanya dipandu memasuki kawasan tertutup di tingkat tiga.

Sebaik memasuki pusat membeli-belah itu matanya terpandang sebuah kedai buku. Langkahnya laju sahaja memasuki kedai buku yang memang bukan salah satu tempat kegemarannya. Dia bukan jenis yang suka membaca, dia suka membelek gambar sahaja. Itupun kerana kerjanya menuntutnya punya ilmu berkenaan hal itu.

Matanya meliar. Mencari apa dia sendiri tidak pasti. Satu demi satu rak diperhati. Satu demi satu tajuk buku di bacanya. Tiada apa yang menarik minatnya setelah hampir setengah jam berada di dalam kedai buku tersebut. Ketika berada hampir dengan pintu keluar kedai buku tersebut dia bagaikan terperasan sebuah buku yang diletakkan di bahagian paling hadapan sekali kedai tersebut. Ruang yang dikhaskan untuk buku-buku keluaran terbaru. Buku yang bertajuk ‘Maryam Jameelah Tokoh Wanita Islam Berbangsa Yahudi’ itu dicapai dan terus sahaja dia melangkah ke kaunter pembayaran. Wang kertas lima puluh diserahkan kepada juruwang berpakaian seragam hitam putih itu.

Entah kenapa dia merasakan sesuatu yang begitu tenang setelah buku itu berada di dalam genggamannya. Dia rasa puas, seperti dia telah memenangi sesuatu!

***

Esoknya, dia ke pejabat seperti biasa. Tiada mesyuarat yang harus dihadiri, tiada sesi fotografi yang menuntut penelitiannya. Dia ingin habiskan masanya dengan membaca hari ini. Membaca perihal Maryam Jameelah!

Memasuki pejabat yang terletak ditingkat lima bangunan lima tingkat itu, dia bertembung dengan Azmi yang basah mukanya. Kaki seluar jeannya disingsing sehingga ke betis. Dia kaku sekejap. Badannya jadi dingin serta-merta.

“Kau kenapa? Nampak hantu?” soal Azmi sambil mengelap air yang mengalir di dagunya.

Aidan Syafiq geleng. Pertama kali dia merasa sesuatu yang aneh bila melihat Azmi yang berkeadaan begitu. Sebelum-sebelum ini tidak pernah. Dia tidak pernah pedulipun!

“Kau dah makan?” soal Azmi lagi. Kain tebal berwarna coklat biru yang tergantung di dinding dicapainya dan terus menuju ke arah biliknya yang terletak bersebalahan dengan bilik Aidan Syafiq.

“Belum. Kau?”

“Belum jugak. Kau nak join makan kat bawah tu, pergilah. Budak-budak lain dah ada kat bawah. Aku nak solat kejap. Lepas makan nanti aku kena gerak pergi FRIM.”

Tanpa memandang Aidan Syafiq, Azmi memasuki biliknya dan merapatkan pintu bilik. Aidan Syafiq masih berdiri di muka pintu. Dia masih terpaku. Azmi solat? Dia? Sejadah yang tergantung di dinding itu memang sudah ada sejak dulu lagi. Dia tidak ingat siapa yang meletakkannya di situ. Cuma dia tahu Azmi dan yang lain selalu menggunakannya. Kadang-kadang dia melihat sejadah itu berada di kerusi Kushrin, kadang-kadang di bilik mesyuarat. Tetapi dia tidak pernah berkeinginan untuk menyentuhnya. Dia memandang kosong. Tetapi hari ini, dirinya menjadi aneh.

“Bro,kau buat apa kat depan pintu ni? Jadi jaga ke apa?”

Serentak dengan itu bahunya ditepuk kuat. Terkejut besar dia, Naim sudah ketawa mengekek.

“Kau ni kan!?”

“Haha… aku perhati dari tadi. Dari lif ni terbuka sampai tertutup, turun balik ke G… naik ke tingkat dua, kau tercegat kat sini sampai tak sedar aku ada kat belakang. Kau nampak apa? Malaikat?”

“Merepek! Kau ni dari mana?”

“Dari Bangsar. Meeting pasal fotografi untuk katolog tu. Kau ni kenapa? Ada masalah ke?”

Aidan Syafiq sengih. Masalah? Entah!

“Tadi aku nampak budak-budak tu kat bawah. Kau dah makan belum?”

Seorang lagi bertanya. Aidan Syafiq geleng kepala.

“Aku tengah lapar ni. Jomlah, boleh mengepaw si Nash!”

Naim gelak lagi. Dia memang suka mengenakan rakan-rakan sekerjanya. Ada sahaja yang menjadi mangsa. Aidan Syafiq pun sudah beberapa kali terkena tapi Naim bukan sebarangan. Sekali dia belanja tak main kopitiam atau restoran mamak seringgit dua. Tapi itulah, nak tengok dia belanja mahu tiga empat bulan sekali, itupun kalau dia ada mood nak keluar duit!

***

Novel Sejarah Jejak Mujahid seorang wanita Yahudi bernama Maryam Jameelah itu berjaya dihabiskan. Satu demi satu muka surat dibacanya, tiada satupun yang tertinggal. Dari kisah bagaimana terbentuknya Zionis dan propaganda Zionis atas nama Israel sehinggalah muka surat yang memaparkan ringkasan kehidupan wanita itu.

Dia jadi emosi tetiba. Dia bagaikan tersedar. Selama ini dia tidak pernah mengendahkan apa yang terjadi di bumi Palestin. Dia tidak pernah sedikitpun mahu mengambil tahu waima membaca berita tentang bumi berdarah itu. Dan hari ini Maryam Jameelah bagaikan ‘menyorongkan’ kesedaran tersebut. Dia rasa malu! Malu kerana dia sebagai seorang yang lahirnya Islam tidak pernah cuba mengambil tahu gelojak Negara rebutan Zionis itu. Malu kerana sekian lama penduduk Palestin berjuang untuk tanah air mereka tetapi dia yang lahir dengan kemewahan ini buta hati!

Ketukan di muka pintu membuatkan Aidan Syafiq tersentak. Segera novel yang baru habis dibacanya itu dimasukkan ke dalam laci meja kerjanya.

“Fiq, seharian kamu di dalam bilik tak keluar-keluar. Waktu cuti macam ni pun kamu kerja ke?” Raut wajah Puan Marshitah jelas menunjukkan rasa kurang senangnya.

“Tak adalah, Mi. Cuma belek-belek sikit je.”

“Erm… dahlah… jom turun makan. Mummy ada tetamu hari ni.”

“Tetamu? Siapa?”

“Anak kawan mummy masa di kampung dulu. Dia akan tinggal dengan kita.”

“Hah?! Biar betul ni, Mi? Kenapa pulak dia nak kena tinggal dengan kita?”

“Cuba perlahan sikit suara tu! Nanti budak tu dengar, terasa hati pulak! Dia akan kerja sebagai pembantu rumah kita untuk sementara. Mummy dah janji dengan emak dia mummy nak tolong sebab dulu emak dia banyak tolong mummy.”

Aidan Syafiq tersengih. Dah macam drama di televisyen pulak!

“Dah jangan nak buat muka macam tu. Budak tu dah banyak tanggung masalah. Kamu jangan nak bagi masalah lagi kat dia. Dia jadi pembantu rumah tapi ingat, pakaian dan bilik kamu bersih sendiri macam biasa. Jangan nak arah budak tu macam-macam!”

“Lah habis tu apa kerja dia?”

“Banyak lagi kerja dia nak buat! Dah, jom turun!”

Aidan Syafiq ikut langkah ibunya turun ke tingkat bawah. Dari atas dia sudah dapat mendengar suara tetamu yang dimaksudkan oleh ibunya tadi.

“Ini anak auntie, Aidan Syafiq. Panggil Abang Aidan ke Abang Syafiq ke, ikut yang mana Amee suka.”

Gadis yang dipanggil Amee itu hanya senyum sambil menganggukkan sedikit kepalanya. Raut wajah Aidan Syafiq pula langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut perihal gadis itu.

Mereka bergerak ke meja makan. Rancak Puan Marshitah dan Encik Zakaria berborak dengan Amee. Si gadis bernama Amee itu pula boleh tahan peramah dan ceria. Langsung Aidan Syafiq tak nampak masalah gadis yang pada perkiraannya itu baru memasuki usia dua puluhan.

“Petang nanti bolehlah Fiq bawak Amee pergi beli barang-barang yang Amee rasa tak cukup,” usul Encik Zakaria yang membuatkan mata Aidan Syafiq terbeliak.

“Aah, bolehkan Fiq? Bukannya kamu nak ke mana-mana hari ni kan?” Soalan daripada Puan Marshitah itu bagaikan arahan yang wajib dipatuhi. Jelingan ekor mata ibunya itu sudah dapat diteka oleh Aidan Syafiq maknanya.



***

“Berapa umur kau?”

Soal Aidan Syafiq sebaik sahaja keretanya keluar daripada ruang letak kereta halaman rumah teres dua tingkat itu.

“Dua puluh tiga.”

“Ohhh.. baru habis study?”

Aidan Syafiq pandang gadis itu bila soalannya bagaikan tidak berjawab. Amee menggelengkan kepala.

“Dah tu kau buat apa selama ni?”

“Duduk kampung. Kerja kedai makan.”

“Kenapa tak terus duduk kampung, kerja situ?”

Amee senyum sahaja. Dia tidak biasa bercerita perihal yang dianggap terlalu peribadi dengan orang yang baru dikenalinya itu. Lagipun, sikap Aidan Syafiq bagaikan dingin sahaja dengannya. Bagaikan tidak suka akan kehadirannya. Amee sudah biasa dengan sikap dingin seperti itu.

“Erm… kau nak beli apa? Aku bawak kau kat pasar raya depan tu je lah ye?!”

Amee tidak memberi reaksi. Dia ikut sahaja cadangan Aidan Syafiq. Kalau ikutkan hati dia mahu pergi sendiri ataupun kalau dengan Aidan Syafiq sekalipun biarlah Encik Zakaria dan Puan Marshitah ikut serta.

Kereta mini cooper milik Aidan Syafiq berhenti di hadapan sebuah pasar raya yang dimaksudkannya tadi.

“Aku tunggu dalam kereta. Kau pergilah beli apa yang kau nak.”

Amee angguk dan terus keluar daripada kereta Aidan Syafiq. Sebaik sahaja Amee memasuki keluar daripada keretanya, Aidan Syafiq memangkirkan keretanya di kawasan letak kereta berhadapan dengan pasar raya tersebut. Penyandar kerusinya diturunkan, dia mahu lelap seketika.

“Assalamualaikum…” Tiba-tiba cermin keretanya diketuk perlahan.

“Wa… Waalaikumussalam.” Jawabnya, sambil menurunkan cermin kereta. Wajah wanita itu tidak jelas pada penglihatannya kerana sinaran cahaya matahari yang begitu menyinar.

Wanita itu menghulurkan sekeping kertas tebal kepadanya. Aidan Syafiq menyambut kertas itu tanpa banyak soal. Sebaik sahaja menyerahkan kertas tersebut wanita itu menghilang.

Ya hamba Allah yang penuh sifat penyayang dan belas ihsan, berhijrah sepertimana hijrah seorang Maryam Jameelah.

Sebaik habis dia membaca tulisan di atas kertas itu, Aidan Syafiq merasakan suasana sekitar berubah. Dia kini berada di padang pasir yang luas. Angin panas bertiup kencang. Di hadapannya ada seorang wanita berjubah hitam dan berniqab. Di hadapan wanita itu pula terdapat sebuah kawasan yang begitu indah, jauh berbeza dengan tempat dia berada sekarang ini.

“Mari…”

Tanpa banyak soal, Aidan Syafiq cuba melangkah menghampiri wanita itu tetiba kakinya bagaikan tidak mampu bergerak. Berat! Dia cuba sedaya upaya tetapi tetap tidak mampu, tubuhnya terasa semakin membahang. Sebaik sahaja dia menoleh, dia melihat segerombolan api menghampirinya. Dia menjerit sambil meminta tolong daripada wanita itu tetapi wanita itu hanya mampu menggelengkan kepalanya.

“Abang Syafiq! Abang Syafiq!”

“Hah!”

Aidan Syafiq tersentak. Rupanya dia bermimpi. Habis berpeluh tubuhnya! Dia melihat Amee yang jelas risau dengan keadaannya.

“Abang mimpikan apa? Tidur sekejap pun boleh mimpi teruk?”

Aidan Syafiq tidak menjawab soalan daripada Amee sebaliknya dia melihat barangan yang dibeli oleh gadis itu.

“Itu je yang kau beli? Barang-barang lain?”

“Erm, ini je yang tak ada.”

Aidan Syafiq tidak menyoal lagi. Enjin keretanya dihidupkan dan terus dipandu pulang ke rumah. Kini fikirannya mula sarat dengan mimpinya tadi. Mimpi yang dia hampir terbakar dan Maryam Jameelah!



***

“Kenapa kau tak tidur lagi?”

Soal Aidan Syafiq. Dia mengambil tempat berhadapan dengan Amee. Dia sedar mata gadis itu memerah. Amee geleng kepala. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran Aidan Syafiq yang tiba-tiba.

“Abang pulak kenapa tak tidur? Esok tak kerja?”

Soalan berbalas soalan. Suara Amee kedengaran bergetar. Aidan Syafiq dapat merasakan gadis itu seperti baru lepas menangis. Tetapi kerana apa?

“Erm, tak boleh tidur. Kau menangis?”

Amee tergelak sambil menggelengkan kepalanya. Kepalanya ditundukkan sedikit cuba menyembunyikan wajahnya dari diteliti oleh Aidan Syafiq.

“Jangan nak tipu akulah. Walaupun lampu ni tak terang, aku belum cukup rabun tak nampak mata kau merah. Kau rindu boyfriend kat kampung?” soal Aidan Syafiq, ada ketawa di hujung bicaranya.

“Taklah. Amee mana ada boyfriend. Tak ada siapa nak kat Amee ni.”

Aidan Syafiq telan air liur. Niat mahu mengenakan Amee tetapi mendengar intonasi suara gadis itu buatkan dia bungkam tetiba. Sensitif sangat!

“Kau muda lagi. Kau tak kenal ramai orang lagi. Entah-entah tak sampai setahun duduk sini, kau dah kahwin. Kau nak aku kenalkan kau dengan budak ofis aku?”

Amee panggung kepala. Dia pandang wajah Aidan Syafiq. Mahu menelek sama ada lelaki itu serius atau sekadar main-main sahaja.

“Aku main ajelah. Aku ni bukan tukang penyatu cinta! Tapi kalau kau nak, aku boleh aje kenalkan dengan mana-mana budak ofis aku tu.”

“Terima kasihlah, bang. Amee tak terfikir pun nak bercinta. Tidak sekarang, tidak juga akan datang.”

“Kenapa? Kau nak hidup single sampai mati?”

Amee sengih. Dia jadi kurang senang pula dengan sikap terlebih ramah Aidan Syafiq. Kalau Aidan Syafiq tahu kisah hidupnya, pasti lelaki tidak berani mahu mengusulkan hal itu.

“Abang tak payahlah risau pasal Amee. Abang kena risaukan pasal diri abang. Auntie kata umur abang dah masuk tiga puluh tapi girlfriend pun tak ada.”

“Orang lelaki tak apa. Umur empat puluh muda lagi!”

“Alasan! Dahlah, Amee dah mengantuk. Amee masuk tidur dulu. Abang tu jangan lama-lama kat luar ni.”

Aidan Syafiq sekadar memerhati langkah Amee yang menghilang. Kata-kata Amee tadi terngiang-ngiang di telinganya. Bersilih dengan mimpi dua minggu lepas. Mimpi pertama kali dia dipertemukan dengan Maryam Jameelah. Dan… tetiba dia teringatkan mata wanita berniqab di dalam mimpinya siang tadi. Mata yang sama milik Amee?!



***

Terjaga pagi itu, kedengaran azan Subuh berkumandang sedikit kuat. Jelas dan nyata sebutannya. Tidak seperti sebelum-sebelum ini yang tenggelam timbul. Mendengar azan itu Aidan Syafiq terus terbangun dan duduk. Hilang kantuknya!

Bila azan Subuh tamat, dia membaringkan semula tubuhnya tetapi bagaikan ada suara menyuruhnya bangun dan membersihkan diri. Sesudah mandi lama dia berdiri di hadapan almari pakaiannya. Dia tidak tahu kenapa dia harus bangun dan mandi seawal pagi.

Allahu akhbar Allahu akbar

Ash’hadu an la ilaha illa-llah

Ash’hadu anna Muhammadar Rasulullah

Hayya ‘ala-s-solah

Hayya ‘alal-falah

Qad qama tis-salaat, Qad qama tis-salaat

Allahu akbar, Allahu akbar

La ilaha illa-Ilah.

La ilaha illa-Ilah



Lafaz iqamah itu bagaikan satu kesedaran kepadanya. Dia masuk semula ke bilik air. Buat pertama kalinya selepas beberapa tahun dia mengambil wuduk. Matanya meliar mencari sejadah yang entah ke mana dicampaknya. Menyelongkar almari bajunya satu demi satu. Akhirnya dia bertemu dengan sejadah berwarna biru tua pemberian arwah neneknya dahulu.

Solat Subuh dua rakaat didirikan. Syukur kerana dia masih mampu mengingat setiap tertib solat, masih mengingat setiap lafaz dan bacaan. Sebaik lafaz salam diberi, hidungnya bagaikan terbau-bau sesuatu.

“Awal kau bangun?! Kau masak apa? Bau sampai ke atas.”

“Amee nak goreng mi. Tengok dalam peti ais tu tadi ada udang. Besar-besar pulak tu.”

“Mummy tak bagitahu yang orang kat dalam rumah ni tak breakfast berat macam ni?”

“Erm… tak ada pun. Habis tu makan apa? Roti?”

Aidan Syafiq angguk. Bau sambal yang digoreng untuk dijadikan perencah mi goreng itu menusuk ke rongga hidungnya. Serta-merta perutnya terasa lapar.

“Habis tu Amee dah sediakan semua bahan…”ujarnya perlahan.

“Buat ajelah. Kot-kotlah selera mummy dengan daddy tu lain macam pulak hari ni. Satu lagi aku nak bagitahu kau tak payahlah bangun awal pagi semata-mata nak buat breakfast. Aku jarang makan kat rumah. Daddypulak selalunya pukul lapan ke atas baru nak breakfast. Mummy pulak kenalah tunggu daddy.”

“Oh macam tu… erm… Amee dah biasa bangun masak pagi-pagi. Pukul empat pagi dah bangun nak sediakan nasi lemak dengan pulut panggang. Lepas solat Subuh terus kena hantar pergi kedai.”

“Esok-esok tak payahlah nak ke dapur awal pagi. Kau bukannya kat kampung. Kau nak aku tolong buat apa?” Soal Aidan Syafiq sambil merenung Amee. Hatinya berdebar tetiba saat matanya bertemu mata Amee. Segera dia melarikan pandangannya ke tempat lain.

“Tak payah tolong apa-apa. Duduk diam je kat situ. Yang abang bangun awal kenapa? Auntie bagitahu abang selalu bangun lambat.”

“Mummy cerita apa lagi pasal aku?! Tak kan semua benda pasal aku dia cerita kat kau?!”

Amee ketawa. Semalam, balik sahaja dari membeli barang bersama dengan Aidan Syafiq dia berbual bermacam-macam perkara dengan Puan Marshitah dan wanita itu suka benar bercerita perihal satu-satunya anak tunggalnya itu.

“Syafiq tu dingin tapi dia baik hati. Mula-mula ni jer dia eksen dengan Amee.”

Ya, Amee akui sekarang tidak sampai dua puluh empat jam dia berada di rumah ini Aidan Syafiq jadi ramah dengannya walaupun masih berbahasa ‘kau dan aku’ lagi dengannya.



***

Puan Marsitah senyum lebar melihat Aidan Syafiq yang rancak berbual dengan Amee di halaman rumah. Tetiba dia memasang harapan kalau dapat menyatukan Aidan Syafiq dan Amee. Dia sudah tidak kisah siapa Amee dan apa yang telah gadis itu lalui. Dia cuma mahu Aidan Syafiq punya isteri dan dia punya menantu.

“Awak senyum sampai ke telinga ni kenapa? Apa yang mencuit hati awak tu?” Tegur Encik Zakaria. Matanya turut memandang gelagat Aidan Syafiq dan Amee yang sedang leka berbual.

“Itulah, si Syafiq dengan Amee. Macam sepadan pulak saya tengok. Kalau Amee jadi menantu kitapun tak apakan, bang?”

“Awak ni… nak ke si Amee tu? Paling penting mahu ke anak awak tu? Dia punya taste lain sikit. Awak ingat tak bekas-bekas girlfriend yang dia bawa balik sebelum-sebelum ni? Tak ada satupun yang macam Amee.”

“Sebab tak macam Amee tu yang tak melekat, bang oiii! Baru saya nak harap dapat menantu, esok lusa putus.”

“Erm… awak sendiri tahukan kisah si Amee tu?! Awak tak kisah dapat menantu macam dia? Saya tak nak awak menyesal nanti. Nanti diungkit-ungkit siapa Amee. Jangan fikir seronok nak dapat menantu je!”

Puan Marshitah terdiam. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh suaminya tetapi dia tidak pernah meletakkan Amee sebagai pesalah. Amee adalah mangsa. Mangsa kepada kerakusan manusia berhati binatang.

“Lebih penting anak awak tu… dia nak terima tak Amee?! Saya tak kisah, asalkan dia gembira dan bahagia dah cukup bagi saya. Siapa pilihan dia saya tak kisah.”

Encik Zakaria bersuara setelah dia melihat isterinya bagaikan memikirkan sesuatu. Dia tidak tahu perubahan Aidan Syafiq sejak akhir-akhir ini kerana Amee ataupun tidak tetapi hatinya senang dan gembira. Beberapa hari lepas, hatinya tergerak untuk memasuki bilik anak lelakinya itu. Terpaku dia melihat sebaik sahaja pintu bilik ditolak, Aidan Syafiq sedang mendirikan solat. Dia tidak pernah melihat anaknya bersolat. Sejak kecil, Aidan Syafiq perlu dipaksa dan dimarah untuk bersolat. Bila sudah membesar dan pada perkiraannya Aidan Syafiq sudah tahu hukum hakam, dia sudah tidak lagi menegur. Sesekali bila dia menegur Aidan Syafiq hanya diam. Hari itu melihat Aidan Syafiq bersolat, dia rasa tenang dan gembira. Kemudian, ketika anaknya itu tiada di rumah dia memasuki bilik Aidan Syafiq. Ada beberapa buah buku rujukan agama di atas meja yang dijadikan meja kerjanya. Ada senaskah al-Quran yang masih baru di hujung meja tersebut.

“Abang tak kisah bermenantukan Amee?” giliran Puan Marshitah bertanya.

“Kalau saya tak suka mana sekalipun, halang macam mana sekalipun dah ALLAH ciptakan Amee untuk Syafiq saya nak buat macam mana?”

“Abang ni… macam tak suka si Amee tu je?!”

“Saya cuma cakap je… saya suka si Amee tu. Saya tak kisah pasal hidup dia sebelum ni tapi kalau boleh awak janganlah mengharap sangat. Saya takut Amee dengan si Syafiq tu tak ada rasa apa-apapun. Nanti kita yang lebih-lebih lain jadinya.”

Puan Marshitah angguk tetapi dia sudah merencana mahu bertanyakan Aidan Syafiq perihal harapannya itu. Kalau dia tidak mulakan, mana nak tahu?!



***

“Amee ingat tak malam yang Amee mula datang sini tu, yang Amee beritahu yang Amee tak akan bercinta tu?! Erm boleh abang tahu kenapa?”

Senyuman di bibir Amee sirna. Dia tidak pernah terfikir Aidan Syafiq akan bertanyakan soalan itu kepadanya dan dia tidak pernah mahu Aidan Syafiq tahu. Biarlah hanya Puan Marshitah dan Encik Zakaria sahaja yang tahu.

“Kalau Amee tak nak cerita boleh?” dia senyum sedikit.

“Em…kalau abang nak tahu jugak?”

Wajah Amee direnungnya. Dia mahu tahu rahsia apa yang cuba disembunyikan Amee daripadanya. Dia mahu tahu semuanya tentang Amee. Kenapa? Entah dia sendiri tidak tahu.

“Kenapa abang nak tahu?!”

Aidan Syafiq tergelak. Dia memang tidak suka kalau soalannya berbalas soalan dan dia pasti ada kisah yang mahu Amee sembunyikan daripadanya.

“Abang tak suka bila abang tanya, orang tu tanya abang balik. Kenapa susah sangat Amee nak beritahu abang?”

“Kalau Amee kata Amee tak bersedia dan mungkin tak akan bersedia nak beritahu abang, boleh? Amee tak rasa satu kepentingan pun untuk abang tahu.”

“Erm… kalau abang kata ia memang satu kepentingan untuk abang tahu, macam mana?”

Dahi Amee berkerut. Renungan Aidan Syafiq dibalasnya, pelik dan geram. Tidak fahamkah lelaki itu dengan kata-katanya?! Dan apa kepentingan Aidan Syafiq untuk mengetahui kisahnya? Dia tahu dia duduk menumpang di rumah lelaki itu tetapi dia berhak untuk tidak menceritakan apa-apa kepada lelaki itu!

“Amee marah? Kalau abang nak tahu sebab abang sukakan Amee, macam mana? Abang nak kahwin dengan Amee.”

Aidan Syafiq bagaikan tidak percaya dengan kata-katanya sendiri. Mukanya rasa berbahang. Malu!

“Abang ni merepeklah! Amee nak masuk, lama-lama kat sini nanti kerja Amee tak siap pulak.”

“Amee tak boleh masuk selagi Amee tak beritahu abang.”

“Ish abang ni… nanti auntie kata apa pulak!”

“Mummy tak akan kata apa-apa pun. Duduklah, jangan nak mengelak daripada abang. Abang serius, abang sukakan Amee.”

Amee mengeluh. Kalau Aidan Syafiq tahu kisah hidupnya, masih sukakah lelaki itu kepadanya?

“Duduklah…”

Amee duduk. Wajahnya kelat tetapi Aidan Syafiq tidak peduli. Dia mahu selesaikan semuanya hari ini. Dia tahu Amee adalah wanita berniqab yang sering mendatangi mimoi-mimpinya.

“Amee tak boleh sukakan abang. Abang carilah perempuan lain yang sepuluh kali lebih baik daripada Amee. Amee bukan perempuan baik. Amee perempuan kelab malam, layan lelaki tiap-tiap malam.”

Suara Amee bergetar, matanya sudah memerah dan berair. Sebaiknya dia tidak mahu Aidan tahu tentang siapa dia sebelum dia ke rumah ini. Dia ke rumah ini atas ehsan Puan Marshitah dan Encik Zakaria yang membawanya lari dari kepompong penuh maksiat itu. Dan pasangan suami isteri itu telah berjanji tidak akan membuka cerita tentang siapa dirinya kepada sesiapa. Sejarah hitam penuh cela itu akan terkubur!

“Amee tahu apa yang abang fikirkan. Amee faham.”

Amee bangun. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Biarlah apa yang Aidan Syafiq mahu fikirkan dia tidak kisah. Mungkin selepas ini Aidan Syafiq akan menyesal meluahkan rasa terhadapnya.

“Kenapa ni, Amee? Kenapa kamu menangis?” soal Puan Marshitah bila mereka bertembung di pintu masuk.

Amee gelengkan kepala dan terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Bergegas Puan Marshitah mendapatkan Aidan Syafiq.

“Fiq, kenapa Amee menangis? Kamu cakap apa dengan dia?”

Aidan Syafiq meraup mukanya. Degupan jantungnya masih tidak teratur.

“Fiq? Mummy tanya kamu ni!”

“Betul ke Amee tu perempuan kelab malam, mi?”

“Amee beritahu kamu?”

Aidan Syafiq mengangguk sambil mengeluh. Bukan itu yang mahu didengarnya daripada Amee. Kalau boleh biarlah apa sahaja cerita disebalik keenganan gadis itu untuk bercinta tetapi bukan yang itu.

“Fiq sukakan Amee?”

Aidan Syafiq angkat kepala. Dia tidak tahu mahu menjawab apa.

“Orang perempuan ni senang percayakan lelaki yang dia cinta. Tambah-tambah bila lelaki tu depan kita baik usah cakap. Pijak semutpun tak mati. Sebab percaya sangatlah Amee jadi macam tu. Rupanya lelaki tu jual dia. Alhamdulillah, walaupun mummy tak dapat tolong dari awal… setidak-tidaknya Amee berjaya diselamatkan.”

“Mummy bayar untuk orang tu lepaskan Amee?”

Puan Marshitah angguk.

“Berapa?”

“Tak usahlah kamu tahu. Yang pasti Amee berjaya mummy bawak keluar dari terus jadi mangsa. Amee bawa dia ke sini untuk dia mulakan hidup baru. Mummy ingat untuk sementara waktu je dia di rumah kita tapi rasa sayang pula mummy nak hantar dia kerja dengan kawan mummy di Terengganu tu. Mummy tak kisah kalau Fiq sukakan Amee. Kalau boleh mummy nak Fiq dan Amee bersatu tapi mummy tak paksa. Ini hidup Fiq. Fiq yang akan bersama dengan Amee. Kalau Fiq tak boleh terima Amee kerana kisah lepas tu, terpulanglah.”

Puan Marshitah bangun meninggalkan Aidan Syafiq. Hatinya terasa berat memikirkan Amee. Tentu gadis itu akan rasa serba tidak kena berada di rumahnya.

***

“Fiq, mummy nak minta tolong ni… Amee tu demam. Panas teruk badan dia… Fiq bawa dia ke klinik boleh?Daddy kamu dah keluar tadi.” ujar Puan Marshitah dari pintu bilik Aidan Syafiq.

“Erm… teruk sangat ke demam dia tu?”

“Teruklah jugak. Mummy ikut sekali. Jom…”

“Yelah.” Ujar Aidan Syafiq separuh hati.

Puan Marshitah menghilang ke bilik Amee. Puas dia memujuk gadis itu untuk ke klinik tapi Amee tetap berdegil tak mahu. Katanya, demamnya akan kebah dengan sendirinya.

“Jangan degil sangat boleh tak? Kalau demam tu makin teruk, siapa susah nanti?!”

Suara Aidan Syafiq kuat kedengaran. Sejak peristiwa tempoh hari mereka memang tidak bersua muka. Sebolehnya Aidan Syafiq mengelak dari bertembung dengan Amee. Dia akan terus keluar seawal pagi dan balik ke rumah selepas makan malam.

“Budak ni tengah sakit, kamu marah dia pulak! Dah Amee, Amee kena pergi klinik jugak. Dengar cakapauntie.”

Amee di bawa ke klinik berdekatan dengan rumah mereka. Selepas mendaftarkan nama, nama Amee dipanggil masuk oleh jururawat yang bertugas.

“Maryam Jameelah!”

Mendengar nama itu disebut oleh jururawat tersebut membuatkan Aidan Syafiq terkejut. Segera dikeluarkan kad pengenalan milik Amee daripada dompet gadis itu. Tertera nama Maryam Jameelah Binti Mustapa Kamal. Aidan Syafiq menelan air liur. Dadanya berombak kencang. Terus dia teringatkan mimpi-mimpinya.

“Fiq… oh… Fiq… kamu termenungkan apa?! Jomlah, balik! Dah siap dah.” Bahu Aidan Syafiq ditepuk oleh Puan Marsyitah bila dia melihat anaknya itu bagaikan termenung panjang.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Aidan Syafiq berkali-kali memandang Amee melalui cermin pandang belakang sehingga ditegur oleh Puan Marshitah.

“Erm.. abang nak cakap dengan Amee sekejap.” Ujar Aidan Syafiq sebaik sahaja enjin keretanya dimatikan.

“Kalau yapun tunggulah masuk dalam dulu. Tak menyempat.” Tegur Puan Marshitah.

“Mummy masuklah dulu. Sekejap je ni.”

Puan Marshitah menggelengkan kepala tetapi kakinya tetap melangkah turun dari kereta anaknya itu. Sebaik Puan Marshitah masuk ke dalam rumah, Aidan Syafiq memusingkan badannya menghadap Amee yang berada di tempat duduk belakang.

“Abang nak minta maaf kalau sikap abang dua tiga hari ni buatkan Amee terasa hati. Abang…”

“Tak apa… Amee faham. Abang jangan risau. Kalau abang nak cakap pasal hal ni, Amee rasa tak perlulah. Amee takkan ingat yang abang kata abang sukakan Amee. Cuma Amee harap abang jangan benci Amee.” Suara Amee bergetar sedikit. Dia langsung tidak memandang Aidan Syafiq.

“Abang tak benci Amee. Sikitpun tak. Dua tiga hari ni fikiran abang kosong tapi hari ni abang dah buat keputusan.”

Amee pandang lelaki itu. Aidan Syafiq senyum sedikit.

“Abang nak Amee jadi isteri abang. Kita kahwin!”

“Abang… tolong…”

“Abang serius! Abang tak kisah apa yang terjadi sebelum ni. Abang selalu mimpikan Amee sebelum abang jumpa Amee lagi? Amee tahu tak sebab mimpi tu abang dah kembali sedar siapa abang dan tanggungjawab abang. Dalam mimpi tu abang tak nampak muka Amee tapi abang ingat nama Amee. Maryam Jameelah, nama tu yang muncul dalam mimpi abang. Nama itu yang membuatkan abang tercari-cari sampaikan abang jumpa sesuatu yang abang hilang selama ni. Abang jumpa balik diri abang, mula kenal ALLAH, mula kenal solat…”

“Mungkin kebetulan je…”

“Kebetulan yang ALLAH nak temukan kita. Betul tak? Amee nak berubah, abang jugak. Jadi… kita kena kahwin!”

Dahi Amee berkerut. Dia tidak dapat mengaitkan perubahan dan perkahwinan.

“Amee tahukan abang sukakan Amee? Tak boleh ke Amee bagi abang peluang? Lagipun, tak elok abang dan Amee duduk serumah tanpa ikatan kan? Boleh mendatangkan fitnah walaupun kita tak buat apa-apa.”

Amee ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Rasa bertambah sakit kepalanya!

“Kalau macam tu Amee keluarlah dari rumah ni. Auntie beritahu hari tu yang kawan auntie nak bagi Amee kerja kat Terengganu.”

Air muka Aidan Syafiq berubah seratus peratus.

“Amee nak abang buat apa supaya Amee terima abang? Abang tak cukup kaya atau tak cukup handsome?”

“Abang, Amee ni bukan mata duitan. Lagipun siapa nak kan Amee ni yang bukannya cantik pun!”

“Abang nak! Orang lain tak pandang cantik, tapi abang pandang cantik. Mata Amee cantik…”

“Mengarut!”

“Mengarut apanya? Betullah, Mata Amee cantik sampai abang termimpi-mimpi. Kita kahwin ya?”

“Tak mahu!”

“Sebab apa?”

“Sebab abang dah tahu jawapannya. Tak payah tanya lagi!”

“Abang tak peduli semua tu. Itu kisah lepas dan bukan salah Amee pun!”

“Amee takut nanti abang akan ungkit semua tu bila kita ada masalah!”

“Percaya pada abang, in sha ALLAH abang tak akan ungkit siapa Amee dan Amee pun janganlah ungkit kisah lepas tu. Lupakan, dah jadi sejarah pun!”

“Auntie dengan uncle?”

“Kenapa? Mummy dengan daddy lagi tak kisah kalau abang pilih Amee. Kalau nak tahu dorang lagi suka siap dah bagi green light lagi!”

“Tipu!”

“Betullah! Abang tak tipu… kalau tak percaya jom tanya mummy…”

“Eh… abang ni… malulah…”

“Dah tu tak nak percaya…”

“Bagi Amee masa untuk buat keputusan.”

“Abang nak hari ni jugak. Sekarang!”

“Abang…”

“Abang tahu Amee dah ada keputusan… Amee sengaja nak bagi hidup abang tak tentu arah!”

“Mana ada! Amee cuma perlukan masa untuk berfikir dan membuat keputusan. Amee tak nak membuat keputusan terburu-buru macam sebelum ni. Amee tak nak pisang berbuah dua kali.”

“Abang ajak Amee kahwin… abang tak akan buat perkara yang sama. Amee kenal keluarga abang, Amee pun kenal abang macam mana kan?”

Amee diam.

“Okey… abang bagi Amee masa untuk berfikir tapi jangan lama sangat sebab nanti abang yang akan buat keputusan untuk Amee! Dan Amee tahukan keputusan abang?! Jadi lepas Amee dah fikir dan buat keputusan, Amee kena masakkan abang mi rebus kalau Amee terima abang atau laksa kalau Amee tak dapat terima abang untuk makan tengah hari.”

“Hah? Mi rebus dengan laksa? Apa abang ni?”

“Yalah… mi rebus tu kan makanan kegemaran abang….” Aidan Syafiq sengih.

“Ada pulak macam tu!”







Lima hari kemudian. Waktu makan tengah hari.

“Kita makan laksa ke tengah hari ni, Puan Marshitah oii? Harum mewangi sampai ke luar!”

Aidan Syafiq yang baru balik dari keluar membeli barang laju sahaja menuju ke dapur. Dadanya berdegup kencang. Teringat permintaannya beberapa hari lepas.

“Amee buat laksa?” soalnya kepada Puan Marshitah. Ibunya itu mengangguk.

Aidan Syafiq memandang ke arah Amee yang pura-pura sibuk membancuh air. Aidan Syafiq kecewa. Dia faham makna masakan Amee.

“Semua dah ada ni, bolehlah nak makan. Amee, dah boleh hidang dah.”

“Okey, auntie.”

“Fiq tak ada selera nak makanlah, mi. Fiq naik dululah.”

“Lah macam tu pulak. Marilah duduk makan sama. Sedap ni Amee masak. Nanti bukan setakat semangguk Fiq makan nanti.”

Aidan Syafiq mengeluh. Dia ikut langkah Puan Marshitah dan Encik Zakaria ke meja makan. Bila dia memandang Amee, gadis itu langsung tidak pedulikannya.

“Sesekali tukar selera tak makan nasi tengah hari ni seronok juga ya!?”

Aidan Syafiq mencebik. Kalaulah mereka tahu maksud laksa yang dibuat oleh Amee itu, adakah mereka akan berselera?

“Ini untuk abang.”

Pinggan berisi mi rebus itu diletakkan di hadapan Aidan Syafiq. Lama lelaki itu memandang mi rebus yang masih berasap itu.

“Kenapa kamu termenung tengok mi rebus tu? Susah payah tahu mummy ajar Amee ni macam mana nak buat mi rebus kegemaran kamu tu!”

Aidan Syafiq pandang ibunya yang senyum lebar. Dia pandang juga ayahnya yang jelas tidak mengetahui apa-apa. Kemudian, dia pandang Amee yang tersenyum memandangnya.

“Yang kamu blur sangat ni kenapa, Fiq? Kamu juga kan suruh si Amee ni buatkan mi rebus untuk kamu. Ini orang tu dah buatkan, yang kamu macam orang tak percaya kenapa?”

“Er…er…”

“Kejap. Saya tak faham. Apa ni semua?” Encik Zakaria mencelah.

“Ini anak lelaki kesayangan awak ni, dia cakap kalau Amee terima dia buatkan dia mi rebus… kalau tak terima buatkan laksa. Pagi tadi tengah saya dok merebus ikan, nak buat laksa sebab teringin nak makan tetiba si Amee cerita dekat saya pasal perjanjian dia dengan Syafiq. Itu yang jadi ada dua menu ni.”

“Jadi… jadi apa maksud Amee? Amee terima abang ke tak?” soal Aidan Syafiq tanpa memperdulikan ibu dan ayahnya.

“Itupun nak tanya ke? Tak faham lagi?” sampuk Puan Marshitah. Aidan Shafiq garu kepala.

“Laksa ni mummy yang buat, mi rebus ni Amee yang buat. Jadinya?”

Aidan syafiq mula tersenyum. Dia pandang Amee yang sudah tertunduk malu. Dia bangun dan terus memeluk ibunya.

“Terima kasih, mummy!”

“Dah jelas dah? Okey, sekarang boleh makan tak?” tanya Encik Zakaria. Dia tersenyum memandang gelagat Aidan Syafiq yang macam budak-budak.

“Terima kasih, Amee! Abang janji abang tak akan sia-siakan Amee! Janji!”

“Geli-geleman daddy dengar! Cepatlah duduk makan, kamu sekali Amee... daddy dah lapar sangat ni tunggu drama sebabak korang habis!”

Aidan Syafiq ketawa. Dia pandang Amee yang mengambil tempat duduk di sebelah Puan Marshitah. Bila mata mereka bertembung, tanpa suara Aidan Syafiq mengucapkan terima kasih. Pencariannya berakhir! Dia sudah bertemu Maryam Jameelahnya! Dan bukan setakat itu, dia bertemu semula fitrahnya!