Monday, September 14, 2009

RAHSIA RINDU 9


Aku menekup mukaku dengan kedua-dua belah telapak tangan. Serasa tidak berdaya lagi untuk mengalirkan air mata. Mukhris dan Haizal sedang berurusan dengan pihak polis. Hanya aku dan Syafikah yang menunggu di hadapan bilik pembedahan. Sebentar tadi, Mukhris membantu menghubungi Encik Zulkarnain memaklumkan kejadian yang menimpa Sean. Aku tidak tahu untuk menghubungi siapa lagi melainkan ketuaku itu.
Kemalangan yang menimpa sebentar tadi berlaku begitu pantas. Sean cuba mengelak lori besar itu sehingga kereta yang dipandunya melanggar tiang elektrik. Aku hanya mampu menjerit dan seketika kemudian tergamam melihat keadaan Sean yang berlumuruan darah dan tidak sedarkan diri. Paling buatkan aku hampir pengsan apabila melihat Sean tersepit.
“Maira, you balik dulu ya? Biar I dengan Haizal yang tunggu sampai bos you datang.”
Aku menggeleng lemah. Aku mahu menunggu sehingga dapat melihat Sean. Selagi Sean tidakku lihat dengan mataku sendiri, selagi itu aku tidak akan berganjak. Dari ekor mataku, aku melihat Syafikah bangun memberi laluan kepada Mukhris untuk duduk disebelahku.
“Maira, you kena balik. Mandi dan tukar baju. Nanti bila you dah okay sikit I suruh Ika bawa you datang sini balik. You balik ya?!” lembut sahaja pujukan Mukhris menampan telingaku. Lagak memujuk anak kecil caranya. Aku menggeleng lagi.
Tadi ketika di bawa ke hospital, doktor menasihatkan aku supaya mendapatkan rawatan lanjut. Takut ada kecederaan dalaman. Namun, aku menolaknya dengan alasan aku tidak apa-apa. Ketika Syafikah tiba bersama Haizal, tubuh wanita itu kupeluk erat. Aku menangis semahu-mahunya di bahu sahabatku itu. Tidak sampai sepuluh minit kemudian Mukhris sampai. Seperti Syafikah dan Haizal, nyata riak risau di wajahnya.
“I nak tunggu Sean.” Tegasku. Mungkin tidak mahu terus mendesak, Mukhris tidak bersuara. Bahuku ditepuk pelahan.
“Faris call tadi tapi I dengan polis masa tu.”
Mukhris menghulur telefon bimbit milikku kepadaku. Lama telefon bimbit berwarna hitam itu kuperhati. Sebelum pelahan lahan aku mendail nombor Faris. Entah kenapa perasaan hiba itu datang lagi.
“Assalamualaikum.” Aku memberi salam serentak dengan itu air mataku mengalir deras.
“Waalaikumsalam, sayang. Kenapa ni? Maira menangis ya?”
Dalam esak tangis itu aku memberitahu Faris apa yang terjadi. Berkali-kali Faris bertanyakan keadaanku. Dipenghujung bicara Faris berjanji akan ke Kuala Lumpur malam ini juga. Aku melarangnya kerana dia perlu mengajar keesokan harinya. Namun, Faris beria benar mahu datang kerana risaukan aku. Akhirnya, aku membiarkan sahaja lantaran aku sendiri amat memerlukan dirinya saat ini.
Tujuh jam lebih Sean berada di dalam dewan bedah. Jam sudah melangkaui angka dua setengah pagi. Oleh kerana pihak hospital melarang terlalu ramai orang menunggu di hadapan wad bedah, aku beralah dengan membiarkan ahli keluarga Sean berada di situ. Aku dan yang lainnya menuggu di ruang menunggu. Faris sampai tepat jam dua belas tengah malam. Itu pun kerana tersilap jalan ketika memasuki Damansara. Faris datang dengan abah. Sebaik sahaja melihat abah, aku terus mendapatkannya. Disebabkan keenganan aku untuk balik, Syafikah dan Haizal mengambil keputusan untuk balik dan kembali kemudiannya. Membawa pakaian untukku.
Sepanjang tempoh menunggu itu, aku langsung tidak boleh melelapkan mata. Mukhris meminta diri untuk pulang kerana menurutnya dia belum lagi sempat membersihkan diri. Aku pohon jasa Mukhris untuk menumpangkan abah di rumahnya. Mulanya abah menolak tetapi atas desakan Mukhris abah menurut akhirnya. Begitu juga Syafikah dan Haizal. Akhirnya tinggal aku dan Faris sahaja.
“Cik Ira…”
Belum sempat jururawat itu menyambung bicara aku sudah bangun dan berlari ke dewan pembedahan. Dari jauh aku melihat keluarga Sean mengerumuni doktor berbangsa India yang kukira doktor yang bertanggungjawab ke atas pembedahan Sean.
Sebaik mendengar penerangan doktor itu, aku terduduk. Panggilan Faris tidak lagi aku hiraukan. Aku tidak mampu menangis. Saat itu aku hanya terbayangkan Sean sahaja. Walaupun kami hanya rapat di tempat kerja tetapi kehadiran Sean tetap juga mewarnai hidupkku. Aku tidak mahu Sean mati sekarang. Aku teringatkan perbualan kami sebelum kemalangan itu terjadi.
“I hope I will be like you or Hafiz. I love to be Muslim tapi entahlah. Mungkin macam my sis cakap I belum di beri hidayah lagi. My sis seorang Muslim. I teruja melihat kehidupan dia yang banyak berubah sejak menganuti agama you.” Lancar dan kedengaran tegas kata-kata Sean disebalik ketawanya. Sean meluahkan perkara itu bila dia terdengar ceramah yang disampaikan ustaz di radio berkenaan dengan hidayah. Luahan hatinya membuatkan aku terkejut dan kerana itu aku tidak mahu Sean mati sekarang. Sekurang-kurangnya biarlah dia sempat mendapat cahaya hidayah dari Allah.
“Sayang, beristighfar banyak-banyak. Astaghfirullah al-azim.” Pelahan Faris mengucapkan kata-kata itu. Aku mengikutnya sambil mengurut dadaku pelahan. Kemudian aku membaca surah al-khautsar. Pohon agar aku diberi ketenangan. Aku cuba bangun walaupun aku berasa cukup tidak berdaya.
“Auntie. Saya mohon maaf.” Ucapku kepada seorang wanita awal empat puluhan yang diperkenalkan sebagai ibu Sean sebentar tadi. Entah untuk apa aku memohon maaf aku sendiri tidak pasti. Wanita itu menggeleng dalam deraian air mata. Tubuhku dipautnya erat.
“You tak salah. Ini semua takdir. Benda sudah mahu jadi. Auntie terima ini semua.” Ujar wanita itu dalam bahasa Melayu yang kurang lancar.
“Umaira dan Faris baliklah dulu. Terima kasih sebab sudi menunggu.” Ucap wanita lewat dua puluhan yang setia bersama ibu Sean sedari tadi. Namanya Jannah, sama seperti nama adikku. Wajahnya kelihatan cantik benar walaupun tanpa secalit pun alat solek. Mungkin tudung yang menutupi rambutnya itu yang menampakkan wajahnya bertambah cantik.
Aku menyalami Jannah dan ibu Sean. Keinginan aku untuk melihat Sean terpendam begitu sahaja kerana sekarang aku merasa tidak sanggup melihat tubuh kaku itu. Menurut doktor peluang untuk Sean hidup adalah amat tipis. Mungkin hanya keajaiban yang mampu menyelamatkannya. Kalaupun Sean hidup, kemungkinan besar Sean tidak akan mampu berjalan lagi. Kakinya lumpuh. Mungkin juga Sean akan mengalami amnesia berikutan terdapat darah beku dikepalanya. Paling membuatkan aku takut, Sean kemungkinan juga akan koma selama-lamanya. Waktu itu aku terfikir lebih baik Sean mati dari hidupnya menderita sedemikian rupa.
“Maira, kita dah sampai rumah Maira ni. Dahlah tu, jangan fikirkan sangat. Kita banyakkan berdoa untuk Sean. Bertuah Sean dapat kawan macam buah hati Ris ni.”
Aku tahu kata-kata Faris memang ikhlas dan mahu melihat aku tersenyum tetapi saat-saat begini aku semacam sudah tidak pandai mengukir senyuman.
“Kalau terjadi apa-apa pada Ris nanti, Ris tak nak Sayang macam ni. Sayang kena kuat.”
“Ris!” Menjerit aku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Faris. Aku tidak suka Faris berkata demikian walaupun aku tahu ajal dan maut itu bukan dalam jangkaan kita.
“Sayang, Ris cuma cakap yang betul jer. Sayang pun tahu kan ajal dan maut tu di tangan ALLAH tapi percayalah dengan Ris, Ris tak akan tinggalkan Sayang selagi kita tidak mengecapi kebahagiaan bersama.”
Jari-jemari Faris sudah di dalam genggamanku. Serasa tidak mahu dia pergi pula saat ini.
“Erm, Ris nak tidur mana malam ni? Tadi kalau tahu suruh balik dengan Mukhris pun tak apa.”
“Tak apalah. Ris tidur kat masjid depan tu. Senang sikit nak solat nanti. Sayang ada tuala tak? Kain batik pun tak apa. Tadi lupa sangat nak bawa barang-barang tu.”
Aku mengangguk lalu melangkah keluar dari kereta milik abah. Seketika kemudian aku kembali dengan tuala dan sehelai kain batik serta sehelai t-shirt.
“Hurm, tak apa ke Ris pakai baju Sayang ni?”
Aku mengangguk dalam senyuman. T-shirt itu sememangnya jarang aku pakai kerana saiznya yang agak besar dari saizku.
“Terima kasih, Sayang. Erm, esok kalau Sayang nak pergi hospital call Ris ya?”
“Baik, Ris.”
“Dahlah, Sayang pergi masuk. Jangan lupa kunci pintu tu betul-betul. Ris rasa ada baiknya sayang mandi. Belum solat lagi kan? Solat dulu, lepas tu baru tidur. Nanti subuh Ris kejutkan.”
Aku sekadar mengangguk dengan arahan Faris. Sebaik sahaja aku memasuki rumah dan membuka lampu ruang tamu, kereta Saga berwarna biru tua itu meninggalkan kawasan rumahku.
Aku duduk di sofa. Memandang anak-anak tangga menuju ke tingkat atas. Serasa cukup tidak berdaya untuk memanjat anak-anak tangga itu. Aku memejamkan mata. Cuba untuk menenangkan diri dan mengumpul seluruh kekuatan untuk ke tingkat atas. Lama aku di ruang tamu sebelum naik ke bilikku

No comments: