Sebaik sahaja memasuki bilik terus sahaja aku menghubungi Faris. Dalam esak tangis yang tidak mampu kutahan aku ceritakakan segalanya kepada Faris. Puas Faris memujukku supaya berhenti menangis dan bertenang kerana tangisanku membuatkan dia tidak mendengar langsung apa yang aku perkatakan. Mahu sahaja aku campak telefon tetapi memikirkan di hujung talian adalah Faris dan aku yang menghubunginya tidak jadi aku meneruskan niat.
“Sayang.. Sayang dengar sini. Sayang mandi lepas tu ambil wuduk. Solat sunat dua rakaat. Lepas tu berzikir banyak-banyak. Nanti Faris telefon balik. Okay? Dengar tak ni Maira?!”
“Ris nak ke mana. Temankanlah Maira.” Aku merengek seperti budak kecil.
“Sayang, sayangkan Riskan? Tenangkan diri Sayang dengan menemui DIA. Mengadu pada DIA. Minta petunjuk dari dia. Ya Sayang?!”
“Erm okay tapi janji nanti call Sayang balik. Janji?”
Aku dengar gelak kecil di hujugn sana. Berkerut dahi aku mendengarnya. Aku tengah sedih-sedih boleh dia gelakkan aku!
“Kenapa gelak?” Serentak dengan pertanyaan itu, rasa sebak menjalar ke seluruh tubuh. Air mata mengalir deras.
“First time Sayang manja-manja macam ni dengan Ris. Ris suka sangat tapi Ris tak suka kalau Sayang nangis-nangis kesedihan macam ni. Menangis sebab gembira tak apa. Dah jangan menangis. Pergi buat apa yang Ris suruh tu!” Faris gelak lagi. Aku ikut tergelak dalam sisa air mata. Aku mengesat tubir mataku dengan tisu.
Selepas berbalas salam terus sahaja aku mencapai tuala, membersihkan diri. Entah mengapa rasa sebak menjalar kembali seiring dengan deruan air yang membasahi tubuhku. Aku menangis lagi. Bukan setakat menangis tetapi sudah meraung! Sampai hati Syafikah menganiaya diriku. Sedangkan aku tidak pernah rasa walau sedikit pun rasa iri dengannya. Sedangkan aku tidak pernah melukai hatinya sehinggakan aku bersangka baik dengannya dan mengetepikan seluruh cinta aku untuk Haizal semata atas dasar persahabatan kami! Inikah balasan paling hebat yang Syafikah hadiahkan untuk aku?! Dengan memanggil aku perempuan jalang?! Sampai hati Syafikah! Sampai hati kau!! Aku menjerit sekuat hati! Biarlah andai ada yang mendengar aku tak peduli.
Aku keluar dari bilik air bila aku benar-benar rasa tenang. Menggigil tubuhku dek kesejukan. Sebaik sahaja menyarung baju tidur ke tubuh aku terus menunaikan solat Isya’. Kemudian menunaikan solat sunat dua rakaat. Sesudah itu aku meneruskan dengan mengaji al-Quran. Entah mengapa aku memilih untuk membaca surah Ar-Rahman. Sebaik habis membacanya aku kembali berbaring di atas katil. Menunggu panggilan Faris.
Hampir terlelap aku ketika telefon bimbitku berbunyi. Mengecil mataku melihat nama yang tertera di skrin. Aku menjawabnya bila nama Faris yang tertera.
“Lambatnya sampai orang nak lelap!” terus sahaja aku menyapanya tanpa salam.
“Manjanya Sayang Ris ni! Dah buat apa yang Ris suruh?”
“Dah.” Mendatar aku menjawab.
“Ris kat luar ni. Cepatlah keluar.”
Ayatnya itu benar-benar mengejutkan aku. Terus terbangun aku dari perbaringan. Serasa tidak percaya apa yang aku dengar.
“Biar betul ni?!”
“Adoi, kuatnya suara! Nasib baik tak pecah gegendang telinga Ris ni! Keluarlah Sayang, Ris kat luar ni!”
Lantas cepat sahaja aku melangkah ke balkoni. Ya ALLAH, Faris benar-benar berada di hadapan rumah aku! Aku jadi terharu. Jadi sebak kembali. Aku meneliti jam di dinding. Hampir pukul satu.
“Kenapa Ris datang!? Orang tak minta pun!” sekejap maira. Sekejap saying. Sekejap orang aku membahasakan diriku dengan Faris. Faris tergelak lagi.
“Cepatlah Sayang. Ris lapar sangat ni. Kita pergi makan eh? Keluarlah!”
“Erm okay. Lima minit eh!” malas pula bersoal jawab dengan Faris. Orang dah datang takkan mahu halau pula!
Bergegas aku menukar pakaian. Menyarung sweater dan tudung. Mencapai kunci rumah dan terus turun ke bawah.
“Kenapa tak bagi tahu nak datang?! Esok tak mengajar ke?” berderu soalan aku kemukankan bila Faris dan aku berhadapan. Faris tersengih. Tergaru-garu kepalanya.
“Mengajarlah Sayang! Tapi Ris lagi risau dengar Sayang menangis tadi. Tengok tu mata lebam sampai macam tu sekali.”
“Habis tu Ris balik bila? Sekarang dah pukul satu. Bila pula Ris nak gerak balik. Bukan dekat!”
“Ris datang sekejap je ni! Kita gi makan kat mana-mana.”
“Ala, seganlah. Ris juga kata mata Sayang ni dah lebam teruk.”
“Erm, dah tu takkan nak duduk berdua-duaan dalam kereta ni?! Kita gi McD ya? Sayang duduk kat luar. Kat Bukit Damansara tu kan tak ramai?! Kita ke sana okay?!”
Aku sekadar mengangguk. Seketika kemudian, kereta Faris mula melucur meninggalkan kawasan hadapan rumahku. Terus sahaja ke Bukit Damansara. Baru sekali aku membawanya ke sini Faris sudah betah benar dengan selok belok jalan.
“Sayang nak makan apa?” soal Faris setelah kami menghampiri tempat duduk berpayung di luar restoran makanan segera itu. Hanya kelihatan dua tiga buah meja sahaja berpenghuni. Beberapa orang lelaki Cina sedang asyik berbual sambil menjamah makanan mereka. Ada sebuah laptop di hadapan mereka.
“Erm, Sayang tak laparlah. Nak minum milo ais je. Nanti Sayang kacau-kacau Ris!”
Faris tersenyum. Sempat dia mencuit pipiku. Cepat sahaja aku mengelak. Faris tergelak kecil sebelum berlalu masuk ke dalam. Aku mengekori langkahnya dengan pandangan mata sahaja. Kemudian pandangan aku beralih bila terdengar gelak besar dari meja selang dua buah dariku. Aku langsung tidak menganggap perbuatan mereka itu mengangguku tetapi salah seorang daripada mereka mengangkat tangan dan menganggukkan sedikit kepala. Aku sekadar tersenyum.
“Erm Sayang, Sayang dah okay sikit?” soal Faris. Dia merenung aku lembut. Makanan di hadapannya tidak terusik sikit pun.
Aku anggukkan kepala sambil menghirup milo ais dihadapanku. Faris meminta aku bercerita semula apa yang terjadi. Katanya dia tak faham langsung apa yang aku cakapkan kerana terganggu dek tangisanku yang meggila.
“Ris tak tahu nak cakap macam mana. Ris tak kenal sangat Syfikah tapi dalam hal ni dia memang tidak berhati perut langsung. Ris nak Sayang bertahan dan sabar. Erm.. Sayang...”
Aku mengangkat kening. Ada sesuatu yang mahu Faris sampaikan. Sesuatu yang seperti sukar dia lafazkan.
“Erm, Sayang takkan tinggalkan Riskan?” Akhirnya terluah juga apa yang bermain difikirannya. Aku tersenyum.
“Tak. Haizal adalah kisah lama Sayang. Sekarang Sayang sudah ada Ris.”
“Terima kasih Nurul Umaira.”
“Sama-sama. Dah makanlah cepat.” Aku sedikit rasa terharu bila mendengar Faris menyebut namaku begitu. Entah mengapa perasaan aku semacam sahaja bila lelaki itu memanggil nama penuhku.
Faris menjamah sedikit sahaja makanannya. Selebihnya aku yang habiskan semuanya. Secara tiba-tiba perut aku lapar sangat. Faris menghantar aku balik tidak lama kemudian. Katanya dia mahu ke Masjid berhampiran. Mahu tidur di sana sementara menunggu subuh. Selepas solat subuh dia akan bertolak balik. Aku jadi risau akan keselamatannya.
“Sayang jangan risau ya?!”
Selepas berbalas salam kereta yang dipandu Faris terus melucur pergi. Aku tersenyum sendiri memikirkan akan kerisauan Faris andainya aku kembali kepada Haizal. Pada aku, walau dengan apa yang terjadi cinta untuk Haizal sudah lama mati. Tidak ada walau sekelimut pun rasa itu.
No comments:
Post a Comment