Khamis. Jumaat. Sabtu. Ahad. Isnin. Selasa.
Restoran Tom Yam Haji Seman. Waktu makan tengah hari yang padat. Darren dengan Becky mahu makan Bak Kut Teh. Tak kan aku nak ikut serta! Si Miza dan Maria pergi kursus. Hamdan pula puasa. Jadinya aku makan seorang diri lagi. Ingat mahu diet tetapi perut aku ni belum diisi apa-apa lagi sejak semalam. Mahu atau tidak aku rajinkan diri untuk membungkus makanan. Aku telefon si Jupha, budak Thai yang bekerja di restoran tu untuk memesan makanan haram dijawabnya. Sibuk sangat gamaknya.
Aku menceduk nasi separuh ke dalam polistrin sambil memikir-mikir mahu makan lauk apa. Setiap hari menunya sama sahaja. Tiada yang berbeza. Masak lemak ikan patin. Masak lemak ayam. Masak lemak ikan. Asam pedas ikan pari. Sup keledek campur daging. Ayam dan ikan goreng. Hati dan paru goreng bercili. Tak payah tengok pun aku dah hafal kesemuanya. Siap susun aturnya sekali aku boleh hafal.
“Minum kak?”
Aku gelengkan kepala. Teringat ada botol air besar yang aku isi dengan air anggur pagi tadi. Masih ada setengah lagi. Cukuplah.
Akhirnya aku sekadar menceduk sayur peria goreng, telur asin dan beberapa ketul tauhu jepun yang dimasak entah apa ke namanya aku tak tahu! Biasalah, orang rajin masuk dapur.
“Itu jer?”
Melaun mana pulak yang menegur aku betul-betul dekat dengan telinga aku nih?! Nasib baik aku tak melatah dan lebih bernasib baik aku tak ada sakit jantung!
Aku toleh ke arah empunya suara. Senyum lebar itu buat aku tayang muka meluat empat puluh empat tahun tak sudah. Apa kes pulak mamat Ricky Kim ni? Tetiba datang tegur aku macamlah dia memang dah kenal aku!
“Awak buat apa kat sini?!”
Soalan bodoh itu aku ajukan dan aku tahu akan ada jawapan bodoh juga dari si Ricky Kim ini. Tidak pun, dia ketawakan aku sebesar-besarnya.
“Dear… I datang nak beli emas. Kan ni kedai emas.”
Aku mencebik. Tanpa memperdulikannya aku terus ke kaunter pembayaran. Si Ricky Kim ikut sekali.
“Yang awak ikut saya kenapa?”
“Siapa ikut awak? Itu… makanan yang saya order dah siap.”
Bibirnya menjuih ke arah bungkusan makanan yang berada di tangan cik abang juruwang yang kurus keding itu. Tak semena-mena aku rasa malu.
“Berapa bang?” Soalnya bila bungkusan bertukar tangan.
“Enam ringgit setengah.”
“Kira sekali yang budak ni punya.”
Cik abang juruwang itu pandang aku dan aku pula pandang si Ricky Kim yang sudah hulur not lima puluh ringgit. Aku dipanggil budak?!
“Saya boleh bayar sendirilah.”
Perlahan aku bersuara menolak kebaikannya itu. Apakah lelaki ini sudah gila sesuka hati mengeluarkan duit untuk aku yang baru dikenalinya minggu lepas? Itupun bukan betul-betul kenal pun. Nama pun dah sah-sah dia tak tahu!
“Kira sekali je bang… dia ni memang degil.”
“Er… er… semua sepuluh ringgit lima puluh sen.”
“Bang.. yang saya, saya bayar sendiri. Saya tak kenal pun mamat ni.”
Cik abang itu jadi serba salah. Tergaru-garu kepalanya yang aku rasa tidak gatal itu. Aku sedar ada dua tiga orang sedang menunggu giliran untuk membayar terpamer bunga-bunga tak puas hati di wajah mereka tapi aku peduli apa.
“Ini yang saya. Empat ringgitkan?”
Aku letak not kertas seringgit yang berjumlah empat keping di atas kaunter dan terus mencapai plastik makananku. Tanpa memperdulikan lelaki yang iras-iras Ricky Kim yang sekali lagi cuba ‘bersedekah’ kepadaku itu aku terus melangkah keluar.
Harap-harap lepas ni janganlah aku bertembung dengan dia lagi. Rasa meluat terhadapnya kalah ketinggian Gunung Everest. Penampilan sahaja nampak kacak bergaya tapi sikap hancur!
***
Pagi Sabtu itu, Maihan mengajak aku ke One Utama. Katanya mahu beli baju kerja. Budak yang ini memanglah itu kerjanya. Setiap bulan tiga empat pasang pakaian yang dibelinya itupun masih dikatakan tidak punya baju untuk dipakai ke pejabat. Selagi aku tak kata ya dan selagi aku tak bangun dari tilam empuk nipisku itu selagi itu dia membingit di sebelahku.
Bila aku bangun dan mencapai tuala barulah mukanya tersengih kalah kerang busuk. Aku bukannya malas keluar tapi kalau keluar nanti banyak pulak yang aku nak beli. Masuk kedai lima ringgit aku nak beli barang dua tiga jenis. Entah dah berapa banyak pasu kedai lima ringgit dalam almari aku itu pun aku tak pasti. Itu belum masuk Jaya Jusco lagi. Semua makanan tetiba rasa enak semacam. Kejap lagi Maihan memilih baju aku ikut pilih. Maihan tak beli aku yang membeli! Dah selalu macam tu!
Salah satu sebab lain adalah waktu-waktu begini Pusat Beli-Belah One Utama itu akan sesak. Nak cari tempat memarkirkan memang susah. Selalu sangat terjadi masuk kawasan parkir bangunan lain tapi parkir keretanya di bangunan lain.
“Wah…. Ada pertunjukkan fesyenlah. Jom tengok kejap.”
Laju sahaja Maihan menarik tangan aku supaya mengikutnya. Kami berdiri betul-betul di sebelah pentas. Entah pelancaran jenama pakaian mana entah. Tidak pulak aku pernah dengar namanya. Model-model lelaki dan perempuan berjalan lagak kucing berjalan sehingga ke hujung pentas. Bila salah seorang model lelaki itu berpatah balik, mata aku terbeliak. Ricky Kim! Wah machonya dia…. Dan saat pandangan aku bertemu dengannya yang masih catwalk di atas pentas itu cepat sahaja aku larikan pandangan. Meliar ke tempat lain. Harap-harap dia tak perasan!
“Ihah… weh… tu mamat tu panggil kau!”
Aku pandang Maihan sebelum mataku mengikut arah muncung mulutnya. Tersengih sahaja si Ricky Kim sambil melambai ke arahku dan mengajak aku datang kepadanya. Laju aku menggeleng. Tak kuasa aku mahu pergi kepadanya.
“Siapa tu? Kau kenal ke? Handsomenya dia….”
Suara Maihan kedengaran separuh berbisik dekat dengan telingaku.
“Entah. Aku tak kenal pun.”
Aku sudah mula tarik tangan Maihan tetapi kawan aku yang sorang ini dah macam kena gam pulak. Tak mahu pula nak bergerak.
“You datang nak tengok I ke?”
Fuh semangat lelaki ni! Nasib baik aku tak tercium dia bila berpaling semula ke arah Maihan. Nasib baiklah model-model ini semuanya tinggi.
“Jangan nak perasanlah! Buat apa datang semata-mata nak tengok awak. Bukan dapat duit pun! Buat sakit mata ada lah!”
Aku tutup perasaan gugup dengan ayat provokasi yang tak berapa provokasi. Maihan sudah tunjuk muka pelik campur hairannya. Kejap lagi aku pasti berjela soalannya.
“Yang you marah sangat dengan I ni kenapa? Dah habis biskut yang I bagi hari tu?”
“Eh nama you apa eh? Sorry lupa nak tanya nama hari tu.”
Perlu ke aku jawab soalan lelaki ni? Perlu ke?
“Nama dia Farihah.”
Gila punya Maihan! Sejak bila pulak dia jadi setiausaha tak bergaji aku ni? Sesuka hati beritahu nama aku pulak! Nanti dia buat jampi serapah empat puluh empat tahun aku merana siapa yang tanggung?! Okey… aku dah berlebihan! Melihat refleksi bayangan diriku di cermin yang diletakkan berhadapan denganku membuatkan aku cepat-cepat sedar diri. Mana tidaknya aku ini ibaratnya perempuan kampong yang biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang boleh buatkan lelaki seperti Ricky Kim ini pandang aku dua kali kalau aku lalu sebelah dia. Lelaki penuh glamour, moden dan istilah masa kini lelaki metroseksual mana mungkin akan terpana dengan biasa-biasa aku ini! Sampai jampi serapah segala itu lagi mengarut!
“Nama I Yusuf Imran. Kalau you tak tanya pun I nak beritahu juga. You tunggu I sekejap. I ambil barang… then kita pergi minum kat mana-mana.”
“Buat apa? Saya datang sini temankan kawan saya yang bernama Maihan ni untuk shopping. Kalau tahu awak ada dekat sini, jangan haraplah saya nak datang!”
Lelaki yang bernama Yussof Imran itu tergelak kecil. Dia ini aku rasa tidak punya perasaan agaknya. Kena sindir pun boleh siap gelak-gelak lagi! Aku tunjuk rasa tak suka pun dia tetap boleh buat biasa.
“Eh tak apalah. Banyak masa lagi nak shopping.”
Nah, antena si Maihan sudah bersatu dengan si Yusuf Imran ini. Maihan kalau bab-bab begini memang serah pada dia.
Yusuf Imran memilih untuk kami minum-minum di sebuah restoran yang terdapat di sayap lama pusat membeli-belah tersebut. Maihan sejak tadi tersenyum-senyum. Sengaja membiarkan aku berjalan berdua dengan Yusuf Imran yang menyebabkan aku merasakan setiap orang memandang kami terutama yang perempuanlah! Yalah, aku ni cuma pakai t-shirt lengan panjang dan berseluar jeans biasa. Tudunng pun tudung bawal biasa. Yang si Yusuf Imran ini pula tak payah cakaplah. Dari kepala sampai ke kaki serba serbi up to date. Serba-serbi nampak mahal. Walaupun aku ni meluat gila dengannya tetapi harus aku akui dia sememangnya kacak dan menarik.
“Weh… korang borak-borak lah ya… aku nak pergi toilet.”
Senyum si Maihan ni sudah boleh aku agak. Senyuman mengada-ngada dengan alasan yang sengaja dibuat-buat. Alasan lapuk untuk meninggalkan aku dengan Yusuf Imran! Alasan pergi ke tandas itu sekadar alasan dan tunggulah berapa lama dia akan ke tandas! Silap-silap nanti disuruh aku balik sendiri. Bagus punya kawan!
Belum pun sempat aku buka mulut dia dah terkedek-kedek meninggalkan aku dan Yusuf Imran di hadapan Pappa Rich. Aku tak terkata apa-apa melainkan rasa menyampah bila melihat senyuman yang tersungging di bibir lelaki di sebelahku ini!
No comments:
Post a Comment